Jumaat, 3 September 2010
SARAWAK : (Berita Harian) Yayasan Sejahtera lancar program Food Pantry.
LANGKAH BASMI KEMISKINAN TEGAR 11,000 PENGHUNI PULAU BERUIT.
PULAU BRUIT: Yayasan Sejahtera, sebuah yayasan yang ditubuhkan bagi menangani dan membasmi kemiskinan tegar dalam negara kelmarin melancarkan program 'Food Pantry' bagi membantu mengatasi dan membasmi kemiskinan tegar di Pulau Bruit, yang terletak di daerah Daro dalam bahagian Mukah, Sarawak.
Pulau itu dipilih berikutan keadaan kira-kira 11,000 penduduknya yang masih dihimpit kemiskinan tegar dengan 90 peratus daripada mereka kebuluran dan kekurangan zat makanan selain sering kali berdepan wabak taun dan denggi berpunca daripada masalah persekitaran yang kurang bersih.
Melalui program ‘Food Pantry’ ini beberapa bungkusan makanan diagihkan kepada seluruh penduduk bagi menghadapi kedatangan musim monsun, oleh Pengerusi Yayasan Sejahtera, Datuk Seri Shahrir Samad yang turut dibantu Datuk Seri Asfiah Awang Nassar yang mewakili Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Norah Abdul Rahman.
Program ‘Food Pantry’ bertujuan mengurangkan masalah kebuluran dan kekurangan zat makanan yang dihadapi penduduk Pulau Bruit dan pada masa sama turut mendedahkan penduduk terhadap pengetahuan mengenai kesihatan dan kepentingan nutrisi makanan.
Yayasan Sejahtera akan terus membantu menyediakan keperluan makanan untuk lebih 2,042 keluarga ketika musim kritikal iaitu ketika monsun dan ia inisiatif jangka masa panjang bagi menangani masalah kebuluran.
Selain itu, ia juga bagi membantu penghuni pulau memperbaiki teknik pertanian untuk menjamin kehidupan dan membantu mereka menyediakan bekalan makanan yang mencukupi pada masa depan.
Yayasan Sejahtera diwujudkan di bawah naungan Jawatankuasa Pencapaian Tinggi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Putrajaya untuk mengatasi kemiskinan di Malaysia.
Melaluinya, Yayasan Sejahtera akan mengenal pasti beberapa komuniti yang memerlukan bantuan bagi membentuk kehidupan lebih baik dengan menyediakan kelengkapan, kemahiran dan infrastruktur.
Ia juga turut melaksanakan usaha mengumpul dana melalui pelbagai projek yang dijalankan dan mengalu-alukan bantuan serta derma daripada orang awam. Sumbangan boleh dibuat menerusi laman web Yayasan Sejahtera atau melalui laman web Maybank2u di bawah Tabung Maybank Sejahtera.
INFO: Program Food Pantry
Bertujuan mengurangkan masalah kebuluran dan kekurangan zat makanan yang dihadapi penduduk Pulau Bruit.
Menyediakan keperluan makanan untuk lebih 2,042 keluarga ketika musim kritikal.
Membantu penghuni pulau memperbaiki teknik pertanian.
YAYASAN SEJAHTERA LANCAR PROGRAM FOOD PANTRY
OLEH SHAARANI ISMAIL
BHNEWS@BHARIAN.COM.MY
2010/09/03
Langgan:
Catatan (Atom)