Ahad, 25 April 2010

RM28 JUTA UNTUK KOTA ANGROPOLITAN (Berita baik untuk penduduk di Pulau Beruit )

MUHYIDDIN Yassin diiringi George Chan Hong Nam (kiri) bersalaman dengan para penduduk sempena majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Tekajong, Pulau Bruit, Mukah, Sarawak, semalam. MUKAH 19 April - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM28 juta untuk melaksanakan dua projek besar bagi membangunkan kawasan Pulau Bruit, dekat sini sebagai Kota Agropolitan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah tersebut, RM18 juta akan digunakan untuk membangunkan program agropolitan bagi menjana ekonomi di kawasan yang mempunyai lebih 9,000 penduduk itu. Katanya, pembangunan di Pulau Bruit itu akan dilaksanakan secara menyeluruh dengan memodenkan kegiatan pertanian dan nelayan di kawasan tersebut memandangkan pulau ini terletak dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score). Dalam pada itu, katanya, RM10 juta pula akan digunakan untuk menyediakan bekalan air bersih di pulau berkenaan yang ketika ini hanya bergantung kepada air tadahan hujan dan sungai. ''Insya-Allah, kerja-kerja awal sudah dikenalpasti serta pelaksanaan penyediaan bekalan air bersih ini akan dilakukan dengan kadar segera meskipun projek ini dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang pelaksanaannya pada tahun depan. ''Sementara itu, pelaksanaan projek agropolitan pula diharap dapat memberikan penduduk yang miskin tegar di kawasan ini kepada kehidupan yang lebih baik dengan program ekonomi yang lebih terancang, tersusun serta moden," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Tekajong, Pulau Bruit dekat sini petang ini. Hadir sama dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam serta Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Seri Mohd. Asfia Awang Nassar dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Norah Tun Abdul Rahman. Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, pembangunan sektor pendidikan juga menjadi keutamaan kerajaan dan pihaknya mempertimbangkan untuk membina sebuah sekolah menengah atau vokasional di Pulau Bruit. Jelasnya, kerajaan bersedia mengeluarkan peruntukan untuk membina sekolah menengah di pulau berkenaan apabila tapak tanah untuk pembinaannya sudah dikenalpasti. ''Kita mahu generasi baru di Pulau Bruit pada masa akan datang menjadi orang profesional atau pemimpin tertinggi negara, maka perkara ini harus kita jaga, meskipun projek pembinaan sekolah tidak ada dalam buku saya hari ini. ''Namun, jika sudah ada tapak untuk sekolah, maka saya akan usahakan untuk mendapatkan peruntukan bagi membangunkan sekolah menengah atau vokasional di Pulau Bruit," katanya......(petikan akhbar pada 20 april 2010 utusan malaysia)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

semoga jadi kenyataan....bukan hangat2 tahi ayam or gula2 pilihanraya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...